Mari Belajar Bersama Cikgu Mariam..

Mari Belajar Bahasa Melayu (LINUS ) Melalui ICT

Thursday 30 June 2011

inFo BM

Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang.[1] Rekod terawal bahasa Melayu Kuno ialah sebuah batu bersurat bertarikh 682 Masihi yang dijumpai di Sumatera Selatan.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan Malaysia, Indonesia, dan Brunei, serta salah satu bahasa rasmi di Singapura. Di Indonesia, bahasa Melayu kini dipanggil bahasa Indonesia, dan di Malaysia, bahasa Melayu secara rasminya dipanggil bahasa Malaysia. Selain daripada keempat-empat negara tersebut, bahasa Melayu juga ditutur oleh penduduk-penduduk Melayu di Selatan Thailand , Filipina, Kemboja, Vietnam, Sri Lanka dan Afrika Selatan.
Menurut statistik penggunaan bahasa di dunia, penutur bahasa Melayu dianggarkan berjumlah lebih 300 juta (bersama penutur Bahasa Indonesia) dan merupakan bahasa keempat dalam turutan jumlah penutur terpenting bagi bahasa-bahasa di dunia selepas bahasa Mandarin, bahasa Inggeris dan bahasa Hindi/bahasa Urdu. Selain itu, dilaporkan sebanyak 70,000 orang mampu bertutur dalam bahasa Melayu di Sri Lanka, manakala di China, terdapat radio dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini adalah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.
Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya,Bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dialek dengan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu. Melayu Riau-Johor menggunakan dialek "e" sedangkan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu menggunakan dialek "o". Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walaubagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.
Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua franca untuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai "bahasa berkerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang daripada Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.
Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walaubagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

Perbezaan antara Bahasa Melayu Piawai dan Bahasa Indonesia

Untuk rencana lanjutan, lihat Perbezaan antara Bahasa Melayu Piawai dan Bahasa Indonesia atau Perbezaan sebutan Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia
Tiada boleh dibezakan secara keterlaluan antara bahasa Melayu Piawai dan bahasa Indonesia kerana bahasa Indonesia sendiri didasarkan kepada bahasa Melayu dialek Riau yang merupakan bahasa Melayu Piawai. Namun, jika dibezakan daripada segi sejarah, budaya, perlakuan tata bahasa masing-masing, dll dengan bahasa Malaysia jelas adalah perbezaan yang ketara. Kedua-duanya boleh memahami antara satu sama lain, tetapi berbeza dari segi ejaan dan kosa kata jua. Bahasa Indonesia berbeza daripada Bahasa Malaysia kerana mempunyai perkataan yang berasal daripada Tanah Jawa, Tanah Melayu, dan Belanda.

Sejarah Bahasa Melayu

Asal usul orang-orang Melayu amat kabur kerana sejarah kuno Asia Tenggara masih belum diselidiki dengan mendalam. [2] Bagaimanapun, istilah "Melayu" adalah sangat baru dan timbul buat pertama kali dalam tulisan Cina antara tahun 644 dan 645 Masihi. Tulisan itu menyebut orang Mo-lo-yeu, tetapi letaknya kerajaan Mo-lo-yeu ini tidak dapat dipastikan: ada yang mengatakan di Semenanjung Tanah Melayu dan ada yang mengatakan di Jambi, Sumatera. Bukti konkrit yang pertama tentang bentuk dan sifat bahasa Melayu hanya terdapat sejak tahun 683, dengan terjumpanya empat buah batu bersurat:
  1. di Kedukan Bukit, Palembang, pada 683 Masihi
  2. di Talang Tuwo, Palembang, pada 684 Masihi
  3. di Kota Kapur, Pulau Bangka, pada 686 Masihi
  4. di Karang Brahi, Meringin, daerah hulu Jambi pada 686 Masihi.
Ada yang berpendapat bahasa Melayu berasal daripada Asia Tengah, ada juga yang berpendapat bahasa Melayu sudah lama wujud di Kepulauan Melayu.

Bahasa Melayu berasal dari Asia Tengah

Untuk rencana lanjutan, lihat Bahasa Melayu berasal dari Asia Tengah
Menurut beberapa teori, penutur-penutur bahasa Melayu berasal daripada golongan Austronesia yang datang sejak 2500 SM dari daerah Yunan dalam beberapa bentuk gelombang pergerakan manusia dan menduduki wilayah Asia Tenggara. [2] Golongan pertama ini dipanggil Melayu Proto. Kemudian, pada kira-kira tahun 1500 SM, datangnya golongan kedua pula yang menduduki daerah pantai dan tanah lembah di Asia Tenggara yang dipanggil Melayu Deutro. [2]
Bahasa Austronesia tergolong dalam keluarga bahasa Austris. Rumpun bahasa Austronesia terbahagi kepada empat cabang, iaitu:
  1. bahasa-bahasa di Kepulauan Melayu (atau Nusantara)
  2. bahasa-bahasa Polinesia, umpamanya bahasa-bahasa Hawaii, Tonga, dan Maori
  3. bahasa-bahasa Melanesia, umpamanya bahasa-bahasa di Kepulauan Fiji, New Caledonia dan Irian
  4. bahasa-bahasa Mikronesia, umpamanya bahasa-bahasa di Kepulauan Marianna, Marshall, Carolina dan Gilbert. [2]
Bahasa Melayu tergolong dalam cabang Nusantara yang mempunyai paling banyak bahasa, iaitu kira-kira 200-300 bahasa. Oleh itu, bahasa-bahasa Nusantara dibahagikan lagi kepada 16 golongan tertentu, antaranya:
Menurut ahli-ahli bahasa dan sejarah ini, Melayu Moden berasal daripada bahasa Melayu Klasik dan bahasa Melayu Klasik berasal daripada bahasa Melayu Induk. Bahasa Melayu Induk berasal daripada bahasa Melayu Purba yang juga merupakan asal daripada bahasa Melayu Kuno. Ini bermakna bahasa Melayu Moden bukanlah merupakan pengembangan daripada dialek Johor-Riau dan bahasa Melayu Moden tidak begitu rapat hubungannya dengan dialek yang lain. Dialek yang lain berasal daripada Melayu Induk manakala dialek Johor-Riau berasal daripada Melayu Klasik.

Bahasa Melayu berasal dari Kepulauan Melayu

Untuk rencana asal, lihat Bahasa Melayu berasal dari Kepulauan Melayu
Penemuan orang Jawa yang berusia ribuan tahun menunjukkan Kepulauan Melayu sudah dihuni manusia, dan bukannya berasal dari Asia Tengah seperti pendapat sesetengah ahli sejarah.

Perkembangan Bahasa Melayu

Kedatangan agama Hindu, Islam dan penjajah Eropah ke Asia Tenggara telah menyebabkan perbezaan yang ketara berlaku antara bahasa Melayu Kuno, bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden. Ini menyebabkan penutur bahasa Melayu Moden tidak mungkin dapat memahami bahasa Melayu dari zaman-zaman sebelumnya. Ahli bahasa membahagikan perkembangan bahasa Melayu kepada tiga tahap utama dan setiap tahap bahasa mempunyai sifatnya yang tersendiri misalnya bahasa Melayu kuno mempunyai pengaruh Sanskrit dan Hindu yang kuat, dan bahasa Melayu klasik terpengaruh dengan bahasa Arab dan Islam. Manakala bahasa Melayu moden lebih banyak dipengaruhi oleh penjajah Barat terutama sekali Inggeris.

Perubahan Aksara Penulisan Bahasa Melayu Sehingga Kini

Penulisan bahasa Melayu telah mengalami beberapa perubahan dan menggunakan beberapa jenis huruf yang saling berganti. Tulisan yang mula dipakai adalah tulisan Pallava yang berasal dari India. Tulisan Pallava ini kemudian mengalami perubahan. Oleh itu, timbul jenis-jenis tulisan seperti berikut:

Pengaruh daripada bahasa asing

Bahasa Melayu banyak menyerap bahasa-bahasa asing seperti Sanskrit, Inggeris, Belanda, Jawa, Arab dan sebagainya.

Pengaruh Bahasa Sanskrit

Bahasa Sanskrit telah banyak mempengaruhi bahasa Melayu apabila bahasa Melayu berada di peringkat kuno, iaitu pada peringkat sebelum bahasa Melayu mencapai zaman klasik pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang Bahasa Melayu telah mengalami zaman kuno antara abad ke-7 dan abad ke-13. Bukti pengaruh bahasa Sanskrit ke dalam bahasa kuno dapat dikesan di dalam batu bersurat yang ditinggalkan oleh kerajaan Srivijaya. Mengenai bukti bahasa Melayu kuno, terdapat empat batu bersurat yang penting, iaitu yang dijumpai di:
  1. Kedukan Bukit, Palembang (683 M)
  2. Talang Tuwo, Palembang (684 M)
  3. Kota Kapur, Pulau Bngka (686 M)
  4. Karang Brahi, Meringi, daerah hulu Jambi (686 M).
Selain itu sebagai faktor sampingan, faktor kemegahan juga faktor yang mendorong kepada peminjaman bahasa dari bahasa Sanskrit. Ini adalah kerana bahasa Sanskrit merupakan bahasa yang dianggap bahasa yang "tinggi-tinggi" pada zaman kuno. Penyerapan bahasa Sanskrit dalam bahasa seharian dijadikan satu cara perolehan kemegahan. Keadaan ini khususnya menyebabkan peminjaman perkataan yang sudah ada dalam bahasa Melayu asli, tetapi digantikan juga dengan bahasa Sanskrit, kerana barangkali dianggap lebih sesuai, lebih sedap bunyinya ataupun semata-mata kerana disangka lebih "tinggi" mutunya kerana bahasa Sanskrit merupakan bahasa sarjana.
Dalam bahasa Melayu,terdapat 677 perkataan yang berasal daripada bahasa Sanskrit. Berikut disenaraikan beberapa contoh perkataan Sanskrit yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu:
Bahasa Sanskrit Bahasa Melayu
dosa dosa
dukkha duka
deva dewa
rupa rupa
samsara sengsara

Pengaruh Bahasa Jawa

Bahasa Jawa dan bahasa Melayu merupakan bahasa serumpun. Kedua-kedua bahasa tergolong kepada keluarga bahasa Indonesia. Terdapat dua faktor utama dalam penyebaran pengaruh bahasa Jawa ke Bahasa Melayu, iaitu:
  • Pengaruh melalui penyebaran cerita panji
  • Pengaruh melalui interaksi sosial dan ekonomi
Cerita panji ialah sejenis cerita yang berasal dari Jawa. Isinya adalah mengenai wira dan wirawati. Cerita ini terdapat banyak versi, dan boleh dikesan di seluruh nusantara sehingga di Kemboja.
Migrasi orang Jawa ke Tanah Melayu telah berlaku semenjak zaman Kesultanan Melayu Melaka. Pertempatan orang Jawa sudah dapat dikesan di bandar Melaka pada zaman itu, iaitu Kampung Jawa dan Parit Jawa. Walaubagaimanapun, migrasi orang Jawa ke Tanah Melayu yang ketara berlaku bermula pada awal abad ke-19. Tumpuan migrasi Jawa adalah di negeri-negeri Selat dan juga negeri Selangor dan negeri Johor.
Pertembungan orang tempatan yang menutur bahasa Melayu dengan pendatang Jawa yang menutur dalam bahasa Jawa telah menyebabkan unsur-unsur bahasa Jawa meresap ke dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perlu diketahui bahawa kata-kata pinjaman Jawa meresap ke dalam Bahasa Melayu secara terpencil dan tidak tersebar luas. Ia dikatakan diserap ke dalam Bahasa Melayu kerana migrasi orang-orang Jawa yang masih mengekalkan bahasa mereka dan tidak menguasai perbendaharaan bahasa Melayu yang sebenar.
Berikut disenaraikan beberapa kata-kata pinjaman Jawa dalam bahasa Melayu:
Perkataan Maksudnya
Andong Kereta kuda(sewaan)
Batok tempurung
berangasan mudah naik marah
wedana ketua daerah
adipati raja

Pengaruh Arab-Islam

Bahasa Arab dan agama Islam sangat mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu. Status bahasa Melayu yang bertaraf lingua franca dan keunikannya telah menyebabkan agama Islam disebarkan dalam bahasa Melayu dan tidak dengan bahasa Arab. Walau bagaimanapun, bahasa Arab melalui kedatangan agama Islam telah mempengaruhi perkembangan bahasa Melayu dalam beberapa aspek, antaranya:
1- perbendaharaan kata
2- sebutan kata
3- tulisan

1- Perbendaharaan Kata

Hampir sebahagian besar perbendaharaan bahasa Melayu meminjam perkataan bahasa Arab. Berikut disenaraikan beberapa contoh perkataan Arab yang dipinjam ke dalam bahasa Melayu:
Bahasa Arab Bahasa Melayu
Abba Abah
Syukr Syukur
Jadwal Jadual
Qamus Kamus
Subh Subuh
Waqtu Waktu
Hayawan Haiwan
Wajh Wajah
Aqal Akal
Dunya Dunia
Mahkamah Mahkamah
Asal Asal
Mas'alah Masalah
Hadyah Hadiah
Sadaqah Sedekah
Mawt Maut
Quwat Kuat
Janin Janin
Kitab Kitab

2- Sebutan Kata

Pengaruh Arab-Islam memberi kesan yang sangat besar kepada sebutan perkataan dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu mula dituturkan supaya menghampiri sebutan bahasa Arab, kerana masyarakat Melayu terdorong untuk membaca Al-Qur'an dengan betul.
Sebutan dengan pengaruh Arab-Islam ini turut membezakan antara penutur asal bahasa Melayu (iaitu orang-orang Melayu) dengan penutur bukan asal (seperti kaum Cina, India, atau bangsa Eropah) kerana penutur bukan asal ini tidak dapat menyebut beberapa perkataan yang menerima pengaruh Arab.
Contoh-contoh perkataan yang berbeza sebutan antara sebutan penutur Melayu dan penutur bukan Melayu:
Abdullah

maklumat

iklan

qadhi

3- Tulisan

Kedatangan pengaruh Arab-Islam telah menyumbangkan kepada penulisan bahasa Melayu dalam tulisan `Arab yang akhirnya disebut tulisan Jawi. Tulisan Jawi ini digunakan antara lain bagi memudahkan orang-orang Melayu yang rata-rata beragama Islam membaca Al-Quran.
Hal ini dapat dilihat dengan jelas apabila sistem pendidikan Malaysia menukar tulisan Jawi kepada tulisan Rumi, ramai orang-orang Melayu mula tidak mampu membaca Al-Quran dengan baik. Ia dinamakan sindrom Buta Jawi atau Buta Al-Quran.

Pengaruh Bahasa Cina

Dalam Kamus Dewan, terdapat kata-kata yang mempunyai etimologi berlabel C, ini merupakan kata-kata yang dipinjam daripada Bahasa Cina. Tapi bukan semua kata-kata yang berlabel C dalam Kamus Dewan Bahasa merupakan kata-kata yang dipinjam daripada Bahasa Cina. Dalam kajian kong 1993, telah menyimpulkan bahawa lebih kurang 261 kata patah perkataan Bahasa Melayu telah dipinjam daripada Bahasa Cina.
Terdapat 10 pengelasan kata yang telah disimpulkan oleh Kong iaitu:
  1. Sayur-sayuran, buah-buahan, dan makanan.
  2. Barang kegunaan harian.
  3. Adat istiadat.
  4. Bangunan dan tempat.
  5. Permainan perjudian dan kepercayaan
  6. Jabatan, kerjaya, dan posisi sosial.
  7. Kenderaan dan alat pengangkutan.
  8. Perkataan lain-lain.
Kajian ini juga dilakukan oleh Mashudi dan Yeong pada tahun 1989. Hasil kajian mereka mendapati terdapat lebih kurang 341 patah perkataan Bahasa Melayu dipinjam daripada Bahasa Cina. Kajian melihat pada fonologi perkataan Bahasa Melayu tersebut. Sistem fonologi kata asli Bahasa Melayu tidak bertepatan dengan sistem fonologi kata Bahasa Cina.
Antara kata Bahasa Cina yang dipinjam dalam Kamus Dewan Bahasa ialah:
  1. Pinjaman kata Bahasa Cina yang bertentangan dengan harmoni vokal
    • Anglo
    • Apek
    • Cingge
    • Kaleng
    • Kongsi
    • Lio
    • Liong
    • Lisong
    • Lokcuan
    • Mahjong
    • Panglong
    • Singkong
    • Taikong
  2. Pinjaman kata Bahasa Cina yang bertentangan dengan rangkap nasal homorgan
    • Angpau
    • Bangpak
    • Camca
    • Kamsia
    • Samsu
    • Samseng
  3. Pinjaman kata Bahasa Cina yang tidak berlaku reduksi vokal
    • Beca
    • Camca
    • Kekwa
    • Nyonya
    • Popia
    • Misoa
    • Mua
    • Sempoa
    • Taukua
  4. Pinjaman kata Bahasa Cina yang mengalami nasalisasi vokal
    • Popia
    • Misoa
    • Sempoa
    • Siya
    • Taukua
Prilaku fonologi pinjaman kata Bahasa Cina adalah bertentangan sistem fonologi bahasa Melayu.

Pengaruh Portugis

Terdapat 131 perkataan yang berasal daripada bahasa Portugis.[3]Beberapa contoh perkataan Portugis yang diserap dalam bahasa Melayu adalah:
Bahasa Portugis Bahasa Melayu
Armario Almari
Bola Bola
Camisa Kemeja
Dado Dadu
Kursi Kerusi
Garfo Garpu
Igreja Gereja
Limao Limau
Menteiga Mentega
Domingo Minggu
Padre Paderi
Menteiga Mentega
Toalha Tuala
Janela Jendela
Escola Sekolah
Sabado Sabtu
Sabao Sabun
Sapato Sepatu

Pengaruh Inggeris

Pengaruh bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu merupakan pengaruh paling ketara dan paling meluas masa kini, dan lazimnya perkataan Inggeris dipinjam ke dalam bahasa Melayu apabila tiada perkataan tempatan untuk mengambarkan situasi baru yang memanggil satu panggilan khusus merujuk kepadanya. Contoh perkataan sebegini adalah konotasi (connoctation), kompromi (compromise) dan siri (series). Tetapi kebingungan dan bantahan sering timbul apabila perkataan Inggeris yang diterima masuk ke dalam bahasa Melayu terlalu banyak sehinggakan ada yang bertindak sebagai pengganti perkataan yang telah wujud. Dewan Bahasa dan Pustaka telah terus membenarkan kemasukan perkataan sebegini dalam kosa kata bahasa Melayu dan tidak menghiraukan bantahan yang dikemukakan. Penggunaan perkataan sebegini yang meluas di media pencetakan dalam bahasa Melayu di Malaysia seperti pada akhbar Utusan Malaysia telah mengeruhkan lagi permasalahan ini. Satu satunya kenyataan bimbang terhadap situasi ini pernah dilafazkan bekas perdana menteri Malaysia, Mahathir bin Mohammad meskipun beliau sendiri telah memperkenalkan suatu perkataan baru "bajet" menggantikan perkataan "belanjawan" semasa perbentangan belanjawannya yang terakhir, dengan alasan bahawa istilah belanjawan tidak tepat kerana anggaran kewangan kerajaan turut melibatkan hasil, dan bukan belanja semata-mata.

Berikut merupakan beberapa perkataan yang telah diterima dalam bahasa Melayu secara rasmi dan digunakan secara meluas dan dianggap telah diterima.

Bahasa Inggeris Bahasa Melayu
Book Buku
Lamp Lampu
Ball Bola
Mind Minda
Cheque Cek
Bus Bas
Taxi Teksi
Beberapa tahun kebelakangan ini (sekitar 2003) stesen televisyen milik kerajaan Malaysia RTM 1 (dahulu dikenali sebagai TV 1) telah menukar tema salurannya kepada "Saluran Infotainmen Anda" (daripada bahasa Inggeris Your Infotainment Channel) dan ini menimbulkan kontroversi apabila Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendakwa perkataan "Infortainmen" merosakkan penggunaan bahasa Melayu. Alasan yang diberikan adalah bahawa -tain- yang harus disebut seakan perkataan Melayu main, dan ini kedengaran agak janggal. Penukaran ejaan ke "Infotenmen" pula tidak diterima sebagai piawai DPB dan kerajaan disaran menggantikannya dengan perkataan lain seperti "Infohibur" tetapi Kementerian Penerangan yang mengendalikan stesen televisyen kerajaan Radio Televisyen Malaysia enggan menuruti saranan berkenaan. Pada tahun 2006 tema ini ditukarkan ke Saluran Inforia.

Frasa mudah dalam Bahasa Melayu

Di Malaysia, biasanya masyarakat Melayu bertegur sapa sesama sendiri dengan ucapan salam, tetapi ucapan formal seperti "Selamat pagi" atau "Selamat sejahtera" turut digunakan bagi penutur bukan Islam. Ucapan "Hai" juga sering digunakan apabila bertegur sama sesama rakan-rakan, sebagaimana perkataan "Bye-bye" semasa meminta diri untuk beredar.
Frasa bahasa Melayu IPA
Selamat datang /səlamat dataŋ/
Selamat jalan /səlamat dʒalan/
Selamat tinggal /səlamat tiŋgal/
Terima kasih /tərima kasih/
Sama-sama /sama sama/
Selamat pagi /səlamat pagi/
Selamat petang /səlamat pətaŋ/
Selamat sejahtera /səlamat sədʒahtəra/
Selamat malam /səlamat malam/
Jumpa lagi /jumpa lagi/
Siapakah nama awak?/Nama awak siapa? /siapakah nama awak/ atau /nama awak siapa/
Nama saya ... /nama saya/ (diikuti dengan nama)
Apa khabar? /apa kabar/
Khabar baik /kabar baik/
Saya sakit /saya sakit/
Ya /ja/
Tidak (bukan formal: "tak") /tidak/ atau /tak/
Ibu (Saya) sayang engkau/kamu (awak)
Aku (Saya) cinta pada mu (awak)
Saya benci awak
Saya tidak faham (tidak formal: "tak faham")
Saya tidak tahu (tidak formal: "tak tau" ataupun "sik tau" di Sarawak)
(Minta) maaf
Tumpang tanya
(Minta) tolong
Apa
Tiada

Bahasa pasar serta penggunaan kontemporari

Bahasa Melayu Pasar turut termasuk sebilangan perkataan slanga, terbentuk daripada pengubahsuaian daripada perkataan dalam Bahasa Melayu Piawai ataupun dicedok daripada bahasa lain, sering digunakan terutamanya di kalangan masyarakat bandar, yang mungkin sukar difahami di kalangan generasi terdahulu, contohnya awek (gadis); balak (jejaka); usha (perhati); skodeng (intai); cun (cantik); poyo/slenge (buruk) dll. Kata ganti nama yang baru turut direka dengan menggunakan gabungan kata ganti nama sedia ada dengan perkataan orang, contohnya kitorang (kita + orang, menggantikan perkataan kami); korang (kau + orang, bagi merujuk kepada ramai orang); diorang or derang (dia + orang, menggantikan perkataan mereka).
Sebilangan penutur bahasa Melayu, terutamanya di Kuala Lumpur, juga sering menukar bahasa (beralih kod) antara bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris, yang seterusnya membentuk bahasa rojak. Contoh pinjaman kata yang digunakan ialah: Bestlah tempat ni (Baguslah tempat ni); kau ni terror lah (Kau ni hebatlah). Akibatnya, fenomena ini melahirkan rasa kurang senang di kalangan pencinta bahasa di Malaysia, yang sering memperjuangkan penggunaan bahasa kebangsaan dengan betul

Wednesday 29 June 2011

JuRnaL HaRian KurSus

Taklimat kursus di bilik Sri Kinabalu

Taklimat Konsep TCPK
Taklimat Membina Bahan Audio, Video, Imej, Teks dan Grafik


Ceramah Motivasi

Tuesday 28 June 2011

SEKAPUR SIRIH UNTUK RAKAN-RAKAN

Alhamdulillah, berjaya juga saya menyiapkan tugasan untuk menghasilkan dan mencipta blog saya sendiri pada hari ketiga saya berkursus di IPG Tawau..syukur dan terima kasih kepada guru pembimbing dan rakan-rakan kerana banyak membantu dan membimbing saya dalam menghasilkan blog ini. Blog ini dibina bagi mengumpul rancangan pengajaran, bahan pengajaran dan info Bahasa Melayu khususnya aliran LINUS Literasi yang sesuai untuk pelajar sekolah rendah. Kami berharap agar blog ini nanti boleh menjadi rujukan kepada para palajar. Blog ini baru dilancarkan dan masih dalam proses penambahbaikan dan pengemaskinian.....harapan saya melalui blog ini, kita dapat bertukar-tukar pandangan dan berkongsi ilmu khususnya dalam inovasi pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu melalui teknologi maklumat dan komunikasi.....pada akhir kursus ini saya berharap dapat memperoleh sebanyak mana ilmu untuk dipelajari dan dikongsi untuk digunakan apabila kembali ke sekolah kelak....diharap rakan-rakan tidak segan-segan untuk bersama-sama dalam ruangan ini untuk berkongsi ilmu.....sekian...